Sunday 22 January 2012

Bukan Soal Siapa Kahwin Dulu...



Bila dalam situasi di mana terlalu ramai teman-teman kita bakal dan baru sahaja menamatkan zaman bujang mereka, kita kadangkala terikut rentak orang ramai di sekeliling kita yang sama-sama teruja dengan berita-berita dan undangan-undangan ke majlis perkahwinan tersebut. Benar, undangan datang bertali arus, hingga berbelas-belas undangan yang saya terima sejak saya pulang ke tanah air Malaysia ini sejak akhir November lalu. Dan hingga habis cuti tahun baru cina dalam masa seminggu ini pun, saya ada 4 lagi undangan ke majlis perkahwinan. Oh my~~

Ramai yang berkahwin itu sebaya dengan umur saya, rakan satu kos, junior yang lagi muda dari saya, dan juga senior-senior saya. Alhamdulillah, mereka bertemu jodoh awal. =) Dan seperti biasa, soalan-soalan cepucemas dari kawan-kawan umi, makcik-pakcik jiran tetangga, sedare-mare, seperti: “bila nak kahwin?” akan menjadi halwa telinga setiap kali bertembung. Maka sebuah senyuman jualah yang menjadi jawapan kepada persoalan tersebut, huhu. (peluh besar menitik) Terkadang terfikir, umur baru 23 tahun ni dah cukup tua ke sampai ramai bebenor yang bertanya? Memang ada beberapa  teman yang  geng satu sekolah dulu, satu batch dulu yang dah ada anak 2, 3 orang sekarang. Kalau yang dah kahwin tu, tak payah kira lah kan. Tapi.. Tapi.. Itu tak bermakna yang orang lain pun akan bertemu jodohnya awal bukan?

Terkadang saya mencemburui mereka yang sudah bertemu jodoh mereka dan bakal mendirikan baitul muslim mereka. Cemburu bukan kerana mereka sudah berjumpa pasangan mereka, sudah boleh bercinta dengan suami/isteri mereka, tapi cemburu kerana mereka sudah melengkapkan separuh dari agama mereka, cemburu kerana setiap kebaikan apa pun yang mereka lakukan pada pasangan mereka, dikira sebagai ibadah, cemburu kerana hanya dengan memandang wajah pasangan mereka dengan kasih sayang pun sudah mendapat berkat di sisi Allah, cemburu juga kerana mereka sudah selesai satu sunnah nabi s.a.w. Benar banyak lagi ibadah-ibadah lain dan kebaikan-kebaikan yang boleh kita lakukan, tapi kita tak mampu untuk menafikan bukan, bahawa orang yang berkahwin itu lebih beruntung dari segi ibadahnya, malah jauh lebih beruntung andai diizinkan Allah untuk melahirkan dan mendidik permata-permata yang soleh dan solehah.

Lalu saya ingatkan diri saya kembali, bahawasanya, ia bukan soal siapa kahwin dulu, tapi soal rumahtangga siapa paling bertahan dalam berkat Allah s.w.t hingga ke syurga. Jangan sampai kerana kita terikut dengan arus di sekeliling kita, kita tersilap langkah dan tersilap percaturan. Terutamanya bagi wanita. Jangan kerana ramainya teman sekeliling kita yang mula bernikah, kita lalu mula hilang pertimbangan hingga main tangkap muat dengan sesiapa yang datang merisik dan meminang kita ketika itu walau ciri yang ada padanya bertentangan dengan apa yang kita cari terutamanya dari segi agama dan akhlaknya. Bersabarlah kita hingga datang pada kita seorang lelaki yang kita kira mampu mengimami kita dalam setiap aspek kehidupan kita. Seorang lelaki yang kita redha agama dan akhlaknya. Sehingga itu, ikhitiarkanlah untuk mendapatkan seseorang seperti itu dengan cara yang paling manis dan cantik selayaknya dengan title kita sebagai seorang wanita islam. Solehahkanlah diri kita dan jika rasa sudah mampu dan bersedia, carilah orang tengah yang kita thiqah untuk membantu kita dalam urusan ini, dan terus- terusanlah berdoa.

Sungguh saya terkesan dengan kata-kata seorang ikhwah di dalam blognya, bahawasanya, muslimah kita kadang kala kurang sabar dalam menanti hingga tersilap ‘merendahkan’ nilai dirinya yang sepatutnya diletakkan di tempat yang lebih layak. Jatuhnya nilai itu hanya dengan cara menegur lelaki dengan sms, menegur di facebok dan ym serta cuba menonjolkan diri dengan cara tidak syari’e. Allah, sungguh itu peringatan yang besar untuk saya terus menguatkan diri agar tidak sewenangnya mencabut duri dari tangkai sendiri sedangkan duri pada tangkai itu buat pelindung diri. Bukanlah ingin jual mahal atau kerek, tapi cukup sekadar kita, wanita, untuk tidak mendatangkan fitnah itu. Peringatan untuk penulis sendiri supaya sentiasa menjaga sebuah malu yang ada pada diri seorang muslimah.

Oleh itu, bersabarlah wahai wanita sekalian, bersabarlah kita dengan sebaik-baik kesabaran, kerana jodoh kita telah ditetapkan sebelum kita dilahirkan. Bersabarlah hingga sampai ketentuan dari Tuhanmu. Yakinlah, akan tiba waktunya nanti untuk kita juga melengkapkan separuh dari urusan agama. Persoalannya sekarang, bersediakah kita? Terutamanya buat yang bergelar daie, bersediakah untuk menjadi sayap kiri dan bersinergi dengan pasangan bagi memantapkan dakwah dan tarbiyyah yang dipikul selama ini? Bersediakah untuk menguruskan rumah tangga menurut acuan islam dengan sebaik mungkin? Jika sebelum ini hidup sendiri-sendiri, apa pun buat ikut jadual sendiri yang fleksible, kini bersediakah kita menguruskan masa dengan lebih efektif, membahagikan masa antara belajar atau bekerja, dengan kerja-kerja dakwah tarbiyah, dengan urusan rumah tangga dan sebagainya.

Bersediakah juga kita dari segi ilmu rumah tangga. Kerana mana mungkin kita memulakan sebuah pelayaran tanpa sedikit pun ilmu asas pelayaran, bimbang-bimbang jika karam di tengah lautan. Bukanlah sampai perlu khatam satu kitab fiqh tentang rumah tangga, cukuplah kita tahu ilmu asas rumahtangga untuk memastikan rumah tangga kita harmoni dengan roh islam di dalamnya, bagamana cara untuk menggembirakan pasangan, bagaimanakah Rasulullah mendidik isteri-isterinya, bagaimana pula skill berkomunikasi yang berkesan kerana kita harus ingat bahawa perempuan dan lelaki amatlah jauh perbezaannya. Jika tidak memahaminya terlebih dahulu, maka banyaklah salah faham yang akan timbul. Oh, saya memang tak layak bercakap soal ini kerana saya belum pun lalui semua itu, tapi sekadar mengutip pengalaman orang, dari pemerhatian, pergaulan dengan mereka yang lebih senior, pengamatan dari kisah kawan-kawan dan sedara mara.

The point is, harus untuk kita siapkan juga diri kita dengan ilmu rumah tangga sekadar yang mampu, selebihnya, kita akan belajar lagi sepanjang kita mengemudi bahtera rumah tangga kita. (ayat nak novel)  Jika SEMUA isu yang diutarakan di atas mendapat jawapan POSITIF penuh YAKIN dari kita, maka, teruskanlah langkah kita menuju ke peringkat baitul muslim itu, kuatkanlah ikhtiarmu.

Buat sahabat-sahabat yang baru sahaja diijabkabul dan yang bakal diijabkabulkan, semoga Allah merahmati antum dan memberkati kehidupan rumah tanggamu selepas ini. Semoga lahirlah mujahid mujahidah soleh solehah dari perkahwinan antum ini yang mampu membawa antum ke syurgaNya, amin ya rabbal alamin.. Daku tumpang gembira, sahabat.. =).. )

Monday 9 January 2012

Jangan Menyentuh Jika Tidak Berniat Memetik

Penegasan: Jangan menyentuh jika tidak berniat memetik

Rentetan dari beberapa kisah yang dikongsikan oleh beberapa teman..

Tahukah kamu wahai kaum adam, wanita solehah yang kamu ingin taaruf bukan sekadar inginkan kejelasan kamu, tapi mereka juga mengharapkan kamu serius untuk taaruf yang menuju bait al muslim. Sememangnya benar taaruf itu tidak semestinya menerima dan bukan jaminan tanda setuju untuk ke bait al muslim, tapi entahkan apa tujuannya jika hanya bertaaruf, menyatakan minat tapi kamu lantas habis di situ. Mengapa ‘menyentuh’ andai tidak berniat mahu memetik? Sedangkan bagi muslimah yang sedang berusaha menjaga dirinya, mereka tidak ingin membiasakan hubungan suka-suka atau ‘sekadar kawan’. Hubungan ‘sekadar kawan’ bagi mereka hanyalah pada ketika perlu.

Sungguh silap jika mengandaikan mereka berminat untuk berkawan suka-suka dengan lawan jenis. Apatah lagi setelah kamu menunjukkan dan menyatakan minat kamu terhadap mereka dan ingin taaruf, maka sewajarnya bagi mereka mempertimbangkan maksud kamu, kerana mereka juga dalam proses menyaring. Namun lembutnya hati mereka disalah ertikan, dan diambil mudah hingga begitu mudah kamu hadir dalam hidup mereka dan menyentuh hati mereka dan begitu pula kamu mudah untuk pergi sesuka hati kamu dan mengandaikan segalanya ‘tersilap’ dan tidak berniat untuk ke tahap seterusnya. Jika benar kamu tidak berminat untuk serius, maka mengapa kamu 'menyentuh' hatinya pada awalnya? Tidakkah itu tindakan kurang matang dan kurang maskulin? Jika ketika taaruf merasakan tidak sesuai, maka tamatkan dengan cara yang matang.

Bukan mereka tidak faham konsep taaruf dan berkawan dalam islam, bukan mereka tidak faham taaruf tidak semestinya diikuti dengan khitbah, tapi di mana kesungguhan kamu dalam bertaaruf untuk mengenali hati budi masing-masing untuk maksud yang lebih besar dari itu? Jika benar setelah taaruf dirasakan tidak sesuai, maka wajar taaruf itu terhenti setakat itu dan masing-masing menerima dengan terbuka. Tapi bagaimana jika dalam proses taaruf pun kamu seolah kebudak-budakan? Atau sebenarnya kamu keliru dan sekadar mencuba-cuba? Ada yang beriya ingin taaruf tanpa apa-apa perancangan. Malulah kamu wahai adam yang ‘belum matang’ (walaupun zahirnya kamu kelihatan matang). Tahniah buat kamu wahai adam yang sudah matang dan memikirkan natijah atas setiap perbuatan kamu kepada orang lain.

Kerana soal jodoh dan rumah tangga itu bukan isu enteng dalam islam, kerana ia adalah soal yang besar dan bukan perkara main-main. Terbinanya ia adalah di atas dasar yang kukuh (individu muslim yang benar muslim)  kemudian menaiki tangga seterusnya dalam maratib amal iaitu baitul muslim. Kerana islam juga tidak mengajarkan hubungan antara lawan jenis sesuka hati tanpa adanya tujuan sahih yang syari'e. Bukan wanita-wanita solehah itu terlalu syadid dalam bersosial, tapi kerana menjaga diri, dan kerana berusaha untuk mendapatkan suasana rumah tangga didasari roh dan acuan islam, maka sewajarnya mereka mengambil serius setiap perkara bermula dari proses taaruf itu lagi. Kerana ia permulaan untuk proses seterusnya. Andai dalam proses bertaaruf pun kamu seolah bermain tarik tali, tahukah kamu itu saja sudah cukup menyinggung perasaan mereka?

Jadi usah ambil mudah andai seorang muslimah memberikan persetujuan untuk proses taaruf yang terkawal kerana bukan sesuka hati mereka menerima dan bukan sesuka hati mereka ingin memulakan proses itu. Sudah tentu2 mereka menimbang kewajaran menolak atau menerima. Andai yang datang itu adalah seseorang yang mereka tidak rasa ada ciri yang dicari, (yang sangat sosial, yang nampak bermain-main, suka mengorat, tak berakhlak, etc)  maka dari awal lagi pastinya mereka tidak akan membuka peluang untuk taaruf sebegitu. Bila yang datang nampak soleh, nampak terjaga agama, tapi alih-alih tak matang pula berdepan dengan isu orang dewasa ni. Maka, tidak mengapa lah jika begitu, mohon ambil lah masa untuk matangkan diri terlebih dahulu, baru fikir nak sentuh atau petik dengan cara professional. Andai tidak jadi petik, undur diri lah dengan cara yang matang. 

Kerana hairan, bila banyak terdengar isu-isu dari muslimah2, adam yang jenis easy come and easy go. Menyatakan minat dan ingin bertaaruf,tapi bila berubah fikiran atau datangnya pilihan lain, maka bertindak seolah semuanya tiada apa-apa. Sungguh tidak mengerti apa yang ada di dalam kepalanya. Terus terang dinyatakan, andai tiada niat untuk memetik, maka usahlah kamu ‘menyentuh’ akan hati si perempuan itu.

Sememangnya laki-laki yang baik untuk wanita yang baik, dan begitu sebaliknya. Sememangnya jodoh setiap orang sudah ditentukan, jika bukan kamu, pasti yang lain yang lebih baik ditakdirkan untuk wanita-wanita itu. Namun kita diberikan kemampuan untuk ikhtiar. Maka ikhtiarlah sehabis baik dan sehabis matang. Usah bertindak kebudak-budakan kerana kamu bukan budak-budak lagi malah selayaknya jadi bapa budak. Fikirlah, istikharahlah, baru nyatakan hasrat untuk bertaaruf. Semoga Allah permudahkan urusan kalian..