Friday 2 December 2011

Harap Tenang, Ada Ujian "Special"


Kata orang, setiap orang yang berada di jalan dakwah ini, ada ujian ‘istimewa’nya masing-masing. Ada orang ujian istimewanya dari ibu bapanya yang tidak faham dan menghalang keberadaannya di jalan ini. Terutamanya akhwat, yang terpaksa minta pelepasan ibu bapa untuk keluar rumah berhari-hari namun sangat sukar, kerana setiap aktiviti dikongkong, akhirnya banyak terlepas program-program penting. Ada orang, ujian istimewanya di jalan ini, adalah karat jahiliyahnya yang ‘special’ yang benar-benar degil untuk disental yang melambatkannya di jalan ini. Ada orang, ujiannya adalah dari segi kewangan, bila nak pergi program pun terpaksa mengorek tabung dalam almari, mengira-ngira syiling yang ada, dengan harapan cukup untuk dibuat tambang bas ke KL. Apatah lagi bagi yang keluarganya lebih memerlukan, duit yang ada untuk program mungkin terpaksa dikorbankan untuk mengisi perut keluarga terlebih dahulu bila keadaan benar memerlukan. Benarlah, Allah akan menguji pada titik terlemah kita. Selagi titik itu tidak ditimbus sempurna, selagi itulah ujian akan datang dari titik yang sama. Sebab itulah kita tak surut diuji dengan perkara yang sama sejak dulu hingga sekarang.

Jika kita jenis ‘alah bisa tegal biasa’ bila diuji dengan masalah ‘kata-kata orang’, cemuhan, tentangan dan sebagainya di jalan ini, makanya, bukan ujian dari aspek itu yang Allah akan lebih-lebihkan untuk kita. Kerana kita sudah pun ‘setel’ bab itu. Sebaliknya, Allah akan uji dengan perkara yang benar-benar menguji kita. Sepanjang berada di jalan ini, tahukah kita apakah ujian ‘special’ yang di design oleh Allah khas untuk kita ketika ini? Jika tiada apa-apa masalah sepanjang berkecimpung di bidang dakwah dan tarbiyah ini, segalanya lancar gembira dan riang ria, maka sila rasa berdebar. Kerana mungkin ada yang tak kena. Tak kira lah positif mana pun kita hingga tak nampak sebarang masalah di jalan ini, pasti tetap ada sesuatu yang akan menguji kita di jalan ini.

Kerana jalan ini bukan jalan cuti-cuti New Zealand, yang ditabur bunga-bunga mekar ketika Spring, atau dihiasi bukit bukau menghijau sepanjang perjalanan diiringi dengan pemandangan lembu New Zealand hitam putih dan biri-biri putih gebu comel. Ia juga tak sentiasa efficient seperti sistem di New Zealand. Tapi, ia adalah jalan ke Kampung Jerong, Wakaf Tapai 20 tahun lalu ketika tiada jalan tar dan ‘hasil buangan’ lembu dan kerbau merata-rata tengah jalan dan tepi jalan, diikuti pula bau yang sungguh ‘mengasyikkan’ sebagai peneman sepanjang jalan tersebut dan ditambah pula tiada lampu jalan ketika malam. Boleh bayangkan? 

Oleh itu, jalan ini bukan jalan riang ria untuk yang mencari keriangan. Kerana syurga itu mahal harganya. Masakan syurga untuk orang yang sentiasa mengharapkan kelancaran dan keriangan di sepanjang hidupnya. Pastinya tidak! Jalan ini jalan kelukaan kerana manisnya di penghujung nanti, insyaAllah. Dan jalan ini jalan kecintaan di mana semua yang berada di atas jalan ini seharusnya hatinya penuh dengan cinta. Cinta sesama ahli jalan yang sama, cinta kepada yang diajak untuk bersama di jalan ini, cinta kepada perkara yang akan mendekatkan kita dengan Pencipta kita, dan pastinya cinta untuk yang paling Agung, yakni cinta terhadap Pencipta itu sendiri. Jika jalan ini jalan cinta, pastinya ia akan menguji, kerana cinta itu menguji, penuh dengan suka duka, penuh dengan perasaan, penuh dengan pengorbanan dan kadang kala air mata. Sama ada air mata keharuan mahupun air mata kelukaan.

Semakin diri cuba meneguhkan hati di jalan ini, semakin nampak apakah ujian istimewa yang mungkin Allah telah design khas buat diri ini, buat masa ini. Ya, benar teruji. Kerana ia masalah yang sama sedari dulu hingga kini. Yang menggoyahkan hati bila terpaksa memilih, ataupun mungkin tiada pilihan pun untuk memilih lantas terpaksa menerima dan redha. (ah, berbelit, pastinya memeningkan untuk yang sedang membaca). Bila sudah lancar tiada masalah dari keluarga, masalah lain pula menempel. Keluarga memang tiada masalah kerana umi cukup faham akan keterlibatan di jalan ini, walaupun dia bukanlah orang yang arif dalam urusan ad-deen ini dan tidak mengerti pun apa itu tarbiyyah, namun dia cukup memahami dan memberikan restunya buat anaknya untuk aktif tahap tak balik rumah sebulan sekalipun atas urusan DnT walaupun balik rumah cuma setahun sekali kerana belajar di negara orang. Syukur Alhamdulillah kerana dikurniakan seorang ibu yang begitu understanding dan sporting. Sudahpun memohon maaf dan sudahpun memohon restu dari umi. Umi memang faham, Alhamdulillah.

Namun, jalan ini bukan ‘murah’. Ada ‘harga’ perlu dibayar, ada ujian perlu dilalui. Ada masalah lain. Masalah yang memang menumpahkan air mata. Allah, betapa payahnya perjalanan aku untuk mendekatimu ya Allah. Betapa Engkau mengetahui aku ingin belari di jalanMu ini untuk mendekatiMu, betapa aku ingin menjadi penolong agamaMu bersama yang lain, betapa aku ingin menjadi penyambung, pewaris tugas mulia kekasihMu Rasulullah s.a.w. Namun ujian-ujian begini pastinya membuatkanku tersepit dan terperangkap di sini. Sedangkan aku ingin bersama mereka,ya Allah. Namun apakan daya, ujian setiap orang itu berbeza bukan? Bagiku, ini adalah ujian istimewaku. Maka aku redha andai ini ketentuanMu buat masa ini. Ya, buat masa ini,ye, Ya Allah. Takkan aku putus asa, tak akan aku biarkan diri ini begini tanpa ada ikhtiar sehabis ikhtiar. Semakin diri ini Kau uji di jalan ini, semakin ingin aku melangkah terus di jalan ini. Kerana aku yakin, ujian ini hanya untuk meneguhkan derapan langkahku di jalan ini, kan, ya Allah?

Jangan jadi seperti ini




Tapi jadilah seperti ini! Hoyeah!

Pastinya Kau sedang persiapkanku agar langkah ini tidak terlalu mudah hingga aku mengambil mudah akan keberadaanku di jalan ini. Oh ya, bukankah jalan ini begitu mahal hinggakan jalanku untuk ‘bertembung’ dengan simpang yang membawaku ke sini pun begitu penuh onak dan duri. Masakan begitu mudah perjalanan ini andai tawaran untuk melihat wajahMu menanti di penghujung?? Masakan jalan ini begitu mudah andai Rasul ku yang menanti untuk menyambutku di penghujung jalan ini?? Maka pastinya perjalanan ini menuntut segalanya dari diri ini, kerana syurga terlalu mahal harganya! Allah... Begitu kerdil diri ini, begitu hina diri ini.. Entah apa yang telah ku buat untuk menolong agamaMu ini..

Mudahkanlah urusanku bersama keluarga ku di sini ya Allah, agar aku mampu menghadirkan diri ke ‘taman-taman syurga’ itu, agar aku mampu meneruskan langkah ku ke depan, bukan berdiri di sini tak bergerak, agar aku mampu ‘berkerja’ bersama mereka. Namun Ya Allah, andai berada di sini lebih baik bagiku menurutMu, maka, tetapkanlah aku di sini, di ruang ini bersama keluargaku andai itu lebih baik bagiku. Mungkin saja waktu ini boleh ku gunakan untuk mempersiapkan diriku sebelum masuk ke IPG sebulan lagi. Mungkin saja masa ini Engkau mahukan untukku bersama umi ku kerana dia lebih memerlukan ku di saat ini. Mungkin saja waktu ini Engkau mahukan ku berada di sini, bukan di ‘taman-taman syurga’ atau ‘ladang-ladang dunia’ sana untuk ku pelajari sesuatu di sini. Apa pun ia, pasti ada yang Engkau ingin ajarkan padaku. Pasti ada tarbiyah dariMu, ya Allah.

Ampunkanlah diri ini atas kekhilafan dan ketidaksedardirian selama ini. Allahu akbar. Hati ini milikMu, anggota badan ini milikMu, jiwa ini milikMu, hidup ini jua milikMu.. Maka apa lagi yang ku harapkan, ya Allah. Segalanya milikmu, maka Engkau lah yang paling berhak menentukan apa yang patut ku lalui sekarang. Ampunkanlah diri ini, aku tidak kisah di mana pun aku sekarang asalkan redhaMu yang aku peroleh,ya Allah. Maka pandulah hati ini untuk membuat keputusan, tunjukkanlah jalan ya Allah, kerana aku tidak nampak jalannya kini. Jalan mana yang lebih Engkau redhai, maka jalan itulah yang akan aku ambil. Permudahkanlah, permudahkanlah, permudahkanlah ya Allah.. Amin...

No comments:

Post a Comment