Sunday 22 January 2012

Bukan Soal Siapa Kahwin Dulu...



Bila dalam situasi di mana terlalu ramai teman-teman kita bakal dan baru sahaja menamatkan zaman bujang mereka, kita kadangkala terikut rentak orang ramai di sekeliling kita yang sama-sama teruja dengan berita-berita dan undangan-undangan ke majlis perkahwinan tersebut. Benar, undangan datang bertali arus, hingga berbelas-belas undangan yang saya terima sejak saya pulang ke tanah air Malaysia ini sejak akhir November lalu. Dan hingga habis cuti tahun baru cina dalam masa seminggu ini pun, saya ada 4 lagi undangan ke majlis perkahwinan. Oh my~~

Ramai yang berkahwin itu sebaya dengan umur saya, rakan satu kos, junior yang lagi muda dari saya, dan juga senior-senior saya. Alhamdulillah, mereka bertemu jodoh awal. =) Dan seperti biasa, soalan-soalan cepucemas dari kawan-kawan umi, makcik-pakcik jiran tetangga, sedare-mare, seperti: “bila nak kahwin?” akan menjadi halwa telinga setiap kali bertembung. Maka sebuah senyuman jualah yang menjadi jawapan kepada persoalan tersebut, huhu. (peluh besar menitik) Terkadang terfikir, umur baru 23 tahun ni dah cukup tua ke sampai ramai bebenor yang bertanya? Memang ada beberapa  teman yang  geng satu sekolah dulu, satu batch dulu yang dah ada anak 2, 3 orang sekarang. Kalau yang dah kahwin tu, tak payah kira lah kan. Tapi.. Tapi.. Itu tak bermakna yang orang lain pun akan bertemu jodohnya awal bukan?

Terkadang saya mencemburui mereka yang sudah bertemu jodoh mereka dan bakal mendirikan baitul muslim mereka. Cemburu bukan kerana mereka sudah berjumpa pasangan mereka, sudah boleh bercinta dengan suami/isteri mereka, tapi cemburu kerana mereka sudah melengkapkan separuh dari agama mereka, cemburu kerana setiap kebaikan apa pun yang mereka lakukan pada pasangan mereka, dikira sebagai ibadah, cemburu kerana hanya dengan memandang wajah pasangan mereka dengan kasih sayang pun sudah mendapat berkat di sisi Allah, cemburu juga kerana mereka sudah selesai satu sunnah nabi s.a.w. Benar banyak lagi ibadah-ibadah lain dan kebaikan-kebaikan yang boleh kita lakukan, tapi kita tak mampu untuk menafikan bukan, bahawa orang yang berkahwin itu lebih beruntung dari segi ibadahnya, malah jauh lebih beruntung andai diizinkan Allah untuk melahirkan dan mendidik permata-permata yang soleh dan solehah.

Lalu saya ingatkan diri saya kembali, bahawasanya, ia bukan soal siapa kahwin dulu, tapi soal rumahtangga siapa paling bertahan dalam berkat Allah s.w.t hingga ke syurga. Jangan sampai kerana kita terikut dengan arus di sekeliling kita, kita tersilap langkah dan tersilap percaturan. Terutamanya bagi wanita. Jangan kerana ramainya teman sekeliling kita yang mula bernikah, kita lalu mula hilang pertimbangan hingga main tangkap muat dengan sesiapa yang datang merisik dan meminang kita ketika itu walau ciri yang ada padanya bertentangan dengan apa yang kita cari terutamanya dari segi agama dan akhlaknya. Bersabarlah kita hingga datang pada kita seorang lelaki yang kita kira mampu mengimami kita dalam setiap aspek kehidupan kita. Seorang lelaki yang kita redha agama dan akhlaknya. Sehingga itu, ikhitiarkanlah untuk mendapatkan seseorang seperti itu dengan cara yang paling manis dan cantik selayaknya dengan title kita sebagai seorang wanita islam. Solehahkanlah diri kita dan jika rasa sudah mampu dan bersedia, carilah orang tengah yang kita thiqah untuk membantu kita dalam urusan ini, dan terus- terusanlah berdoa.

Sungguh saya terkesan dengan kata-kata seorang ikhwah di dalam blognya, bahawasanya, muslimah kita kadang kala kurang sabar dalam menanti hingga tersilap ‘merendahkan’ nilai dirinya yang sepatutnya diletakkan di tempat yang lebih layak. Jatuhnya nilai itu hanya dengan cara menegur lelaki dengan sms, menegur di facebok dan ym serta cuba menonjolkan diri dengan cara tidak syari’e. Allah, sungguh itu peringatan yang besar untuk saya terus menguatkan diri agar tidak sewenangnya mencabut duri dari tangkai sendiri sedangkan duri pada tangkai itu buat pelindung diri. Bukanlah ingin jual mahal atau kerek, tapi cukup sekadar kita, wanita, untuk tidak mendatangkan fitnah itu. Peringatan untuk penulis sendiri supaya sentiasa menjaga sebuah malu yang ada pada diri seorang muslimah.

Oleh itu, bersabarlah wahai wanita sekalian, bersabarlah kita dengan sebaik-baik kesabaran, kerana jodoh kita telah ditetapkan sebelum kita dilahirkan. Bersabarlah hingga sampai ketentuan dari Tuhanmu. Yakinlah, akan tiba waktunya nanti untuk kita juga melengkapkan separuh dari urusan agama. Persoalannya sekarang, bersediakah kita? Terutamanya buat yang bergelar daie, bersediakah untuk menjadi sayap kiri dan bersinergi dengan pasangan bagi memantapkan dakwah dan tarbiyyah yang dipikul selama ini? Bersediakah untuk menguruskan rumah tangga menurut acuan islam dengan sebaik mungkin? Jika sebelum ini hidup sendiri-sendiri, apa pun buat ikut jadual sendiri yang fleksible, kini bersediakah kita menguruskan masa dengan lebih efektif, membahagikan masa antara belajar atau bekerja, dengan kerja-kerja dakwah tarbiyah, dengan urusan rumah tangga dan sebagainya.

Bersediakah juga kita dari segi ilmu rumah tangga. Kerana mana mungkin kita memulakan sebuah pelayaran tanpa sedikit pun ilmu asas pelayaran, bimbang-bimbang jika karam di tengah lautan. Bukanlah sampai perlu khatam satu kitab fiqh tentang rumah tangga, cukuplah kita tahu ilmu asas rumahtangga untuk memastikan rumah tangga kita harmoni dengan roh islam di dalamnya, bagamana cara untuk menggembirakan pasangan, bagaimanakah Rasulullah mendidik isteri-isterinya, bagaimana pula skill berkomunikasi yang berkesan kerana kita harus ingat bahawa perempuan dan lelaki amatlah jauh perbezaannya. Jika tidak memahaminya terlebih dahulu, maka banyaklah salah faham yang akan timbul. Oh, saya memang tak layak bercakap soal ini kerana saya belum pun lalui semua itu, tapi sekadar mengutip pengalaman orang, dari pemerhatian, pergaulan dengan mereka yang lebih senior, pengamatan dari kisah kawan-kawan dan sedara mara.

The point is, harus untuk kita siapkan juga diri kita dengan ilmu rumah tangga sekadar yang mampu, selebihnya, kita akan belajar lagi sepanjang kita mengemudi bahtera rumah tangga kita. (ayat nak novel)  Jika SEMUA isu yang diutarakan di atas mendapat jawapan POSITIF penuh YAKIN dari kita, maka, teruskanlah langkah kita menuju ke peringkat baitul muslim itu, kuatkanlah ikhtiarmu.

Buat sahabat-sahabat yang baru sahaja diijabkabul dan yang bakal diijabkabulkan, semoga Allah merahmati antum dan memberkati kehidupan rumah tanggamu selepas ini. Semoga lahirlah mujahid mujahidah soleh solehah dari perkahwinan antum ini yang mampu membawa antum ke syurgaNya, amin ya rabbal alamin.. Daku tumpang gembira, sahabat.. =).. )

No comments:

Post a Comment